Wednesday, 12 September 2012
Pengurusan uri dalam Islam
Islam larang perkara khurafat dalam pengurusan uri
SETIAP bayi yang dilahirkan keluar bersamanya uri atau dikenali dalam kalangan masyarakat kita sebagai ‘kembar bayi’.
Uri atau tembuni atau plasenta dalam Bahasa Arab dikenali sebagai al-mashimah. Uri, organ dalam rahim yang bersambung dengan janin melalui tali pusat berfungsi membekalkan makanan dan oksigen kepada bayi dalam kandungan.
Namun, masih ada yang masih tidak tahu bagaimana pengurusan uri mengikut Islam sehingga mengundang perkara khurafat.Banyak faktor menyumbang berlakunya perkara itu antaranya kurang perhatian dan kesedaran.
Kebiasaannya, bapa bayi hanya memikirkan keadaan bayi yang baru dilahirkan, seterusnya menyerahkan tugas menguruskan uri kepada orang tua mereka.Di samping itu, tidak dinafikan pendedahan maklumat yang jelas berkenaan pengurusan uri mengikut Islam sama ada melalui ceramah mahupun penulisan ilmiah yang mudah dicapai dan difahami masyarakat awam masih kurang.
Ketua Program Fiqh dan Fatwa, Fakulti Syariah dan Undang-Undang Universiti Islam Malaysia (USIM), Dr Irwan Mohd Subri, berkata banyak perkara khurafat dilakukan umat Islam berhubung pengurusan uri.
Antaranya, menanam uri bersama pensil dan buku dengan harapan bayi tersebut akan cepat pandai kelak. Kemudian menanam uri bersama paku dan benda-benda tajam, kononnya untuk mengelak bayi menangis atau didekati benda halus selain menyalakan unggun api berhampiran tempat uri ditanam kerana bimbangkan ‘kembar bayi’ itu kesejukan pada waktu malam.
Perkara ini amat membimbangkan kerana jika tidak diperbetulkan dengan memberikan panduan Islam sebenar, ia dapat merosakkan akidah seseorang Muslim. Irwan menjelaskan, adalah tidak benar dan berasas sebahagian masyarakat kita yang suka mengaitkan perkara berlaku terhadap kanak-kanak sama ada baik atau buruk dengan akibat terhadap pengurusan uri.
Ini seperti mana larangan Rasulullah SAW ketika mana kematian anaknya, Ibrahim, dikaitkan dengan gerhana matahari dan bulan.
Masyarakat di Kampung Ayer, Brunei, tidak menanam uri bayi sebaliknya hanya memasukkan uri dalam bungkusan plastik yang disangkut di dahan pokok di sebuah pulau tidak berpenghuni.
Islam agama yang syumul meliputi setiap aspek kehidupan manusia. Dalam konteks pengurusan uri ini, Islam menetapkan beberapa garis panduan seperti dijelaskan Institut Pengurusan dan Penyelidikan Fatwa Sedunia (INFAD) bahawa hukum menanam uri bayi adalah harus. Uri perlu dibasuh dan ditanam di dalam tanah supaya ia tidak dimakan oleh haiwan.
Uri orang Islam adalah suci dan dengan itu tidak boleh dibakar atau dijual. Mana-mana orang Islam yang melahirkan anak di hospital hendaklah membawa balik uri untuk ditanam di tempat masing-masing. Berdasarkan keterangan itu, jelas menunjukkan uri bayi hendaklah ditanam selari dengan apa yang diperintahkan dalam hadis diriwayatkan Hakim daripada Aisyah yang mafhumnya, “Nabi SAW telah memerintahkan supaya ditanam tujuh perkara daripada manusia iaitu rambut, kuku, darah, haid, gigi, Pensyarah kanan Fakulti Pengajian Quran dan Sunah USIM, Dr Irsyadulhaq Abdullah, berkata hikmah Islam memerintahkan uri bayi ditanam adalah sebagai tanda penghormatan kepada uri itu kerana ia sebahagian anggota manusia dan manusia makhluk yang dimuliakan Penciptanya.
Sumber berita harian online
Klik>> Fatawa:Apakah yang perlu dilakukan kepada anggota yang terpisah dari anggota badan ?
rambut dengan kuku kena tanam rupanya ye..
ReplyDeleteSunat ditanam Boni....
Deletedipetik dari blog:
http://hukumhakam.blogspot.com/2009/03/apakah-yang-perlu-dilakukan-terhadap.html
Sesetengah ulama telah menyebutkan bahawa setiap anggota yang terpisah daripada anggota manusia yang masih hidup seperti rambut, kuku atau darah disunatkan agar ia ditanam. Beberapa hadis yang tidak sabit kesahihannya telah diriwayatkan daripada Rasulullah saw berkenaan dengan perkara tersebut.
Syeikh Ibn Qudamah al-Maqdisi berkata: “Disunatkan menanam kuku yang dipotong dan rambut yang digunting berdasarkan hadis yang diriwayatkan oleh al-Khallal daripada Mayl binti Mashrah al-‘Ashariyyah, katanya: “Aku melihat ayahku memotong kukunya dan menanamnya dan dia berkata: “Aku melihat Rasulullah saw melakukan demikian.” Juga berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Ibn Juraij, daripada Nabi saw bahawa baginda suka menanam darah.
Mehna (salah seorang sahabat Imam Ahmad bin Hanbal) berkata: “Aku bertanya Imam Ahmad tentang seseorang yang memotong rambut dan kukunya, adakah perlu ditanamnya atau oleh dibuangnya begitu sahaja?” Beliau menjawab: “Hendaklah ditanamnya.” Aku bertanya lagi: “Adakah sampai kepadamu sesuatu hadis berkenaannya?” Beliau menjawab: “Ibn Umar melakukannya (menanamnya).” Aku juga meriwayatkan satu hadis daripada Nabi saw bahawa baginda memerintahkan agar rambut dan kuku ditanam dan baginda berkata: “Agar ia tidak dipermain-mainkan oleh ahli sihir di kalangan anak Adam.”
Imam Nawawi yang bermazhab Shafie pula berkata: “Sunat menanam dan menimbus di dalam tanah segala rambut serta kuku yang dipotong sebagaimana diriwayatkan perbuatan tersebut dilakukan oleh Ibn Umar dan disepakati oleh para ulama mazhab kami.”