Friday, 23 October 2015

JIBAM 1 oleh Cikgu Nur Sobariah Ismail

(Terbangun tengah2 malam ni rasa nak tulih cerpen la pulak... Muhasabah tentang pentingnya menghargai usaha dan pemberian seseorang walaupun ia nampak kecil dan lekeh...)
Hayatilah kisah ini.... krik..krik...

Kisah ini berkenaan seorang murid yang serba kekurangan, di suatu daerah yang jauh terpencil..
Jibam, sangat terkenal di sekolahnya dengan imej yang selekeh. Rambutnya mencecah telinga, dengan uniform sekolah yang sudah lusuh, kasut yang sebelahnya sudah tidak bertali..hanya diganti dengan tali rafia. Sering menjadi mangsa ejekan rakan-rakan di sekolah dengan penampilannya yang serabai, ditambah tabiatnya yang suka menggaru-garu kepala dan menyapu-nyapu lelehan air hidung yang hampir tidak pernah kering.
Namun, dialah yang paling awal sampai di sekolah. Tercangak-cangak berhampiran pintu bilik guru. Semata-mata ingin menanti kemunculan kelibat seseorang yang sangat penting baginya, iaitu Cikgu Romizi..
        Cikgu Romizi bukanlah seorang guru yang kacak atau berpenampilan menarik sehingga menyebabkan Jibam menjadi orang yang paling setia menunggu kemunculan guru kesayangannya itu saban pagi. Malah, Cikgu Romizi adalah salah seorang guru yang paling ditakuti oleh kesemua murid sekolah itu. Dengan imej garangnya yang bermisai tebal dan melentik ke atas, wajah yang sangat jarang mengukir senyum, malah suara jerkahannya boleh sampai dari atas tingkat empat hingga ke hujung padang yang jauh sesayup mata memandang. Tempelengnya sudah menjadi santapan harian bagi murid-murid yang tidak makan saman.
Itulah sosok Cikgu Romizi yang langsung tidak menjadi guru kegemaran ramai, tetapi tetap istimewa di hati Jibam. Biar dia selalu menjadi mangsa jerkahan Cikgu Romizi, biar telinganya selalu dipiat sehingga kakinya terjingkit menahan kesakitan, biar dirinya selalu menjadi bahan ketawa guru-guru setiap kali Cikgu Romizi menjadikannya seperti ‘badut’ di dalam bilik guru ketika dia masuk untuk menghantar buku-buku Cikgu Romizi.. Namun, dia tetap merasa satu kepuasan kerana dapat berkhidmat untuk guru kesayangannya yang kadang-kadang ingin sekali dia menukar panggilan ‘cikgu’ kepada ‘abah’.. Pernah sekali lidahnya hampir tergelincir tersebut ‘abah’ di hadapan cikgu kesayangannya, Namun mujurlah Cikgu Romizi tidak terdengar ketersasulannya itu. Kalau tidak, habislah dia menjadi ‘bahan’ Cikgu Romizi ketika itu.

Sehinggalah hampir 5 bulan semenjak sekolah dibuka pada tahun itu, Jibam merasa seperti ada satu debaran kecil.. Dia sebenarnya sedang menanti satu tarikh.. semata-mata untuk menghadiahkan sesuatu untuk insan istimewanya.Hadiah itu sudah disediakan sejak 3 bulan yang lepas. Hari-hari dia membuka sekeping lukisan potret hasil tangannya sendiri. Lakaran wajah seseorang  dengan imej bermisai tebal melentik dan berbadan gempal ditilik-tilik saban hari. Dilakar-lakar lagi di kawasan yang perlu diterangkan dengan pensil kesayangannya yang dibeli dari hasil upahnya membersih semak di belakang rumah Mak Su Kiah. Risau juga dia, sekiranya lakaran potret itu hanya cantik di matanya, tapi tidak di mata insan kesayangannya. Dia terasa ingin menyelitkan sekali bersama lukisan itu dengan sesuatu yang menjadi kegemaran Cikgu Romizi. Puas dia berfikir, apa yang Cikgu Romizi paling suka? Yang pasti, cikgu Romizi suka menghisap rokok. Tapi, sekarang Cikgu Romizi sudah berhenti merokok, tetapi sebaliknya mula menyedut sesuatu dari dalam botol kecil berbentuk empat segi. Dia tidak tahu apa benda yang selalu di bawa Cikgu Romizi itu.. Cuma yang pasti, dia bercita-cita suatu hari nanti, jika dia berjaya menjadi seorang guru, dia juga mahu menyedut botol empat segi itu. Dia mahu menjadi hebat seperti Cikgu Romizi.
Tetapi, tak mungkin dia mampu menghadiahkan Cikgu Romizi botol yang pernah disebut rakannya entah viper atau vaper.. Mestilah benda itu sangat mahal. Cuma, ada sesuatu yang terlintas di hatinya. Dia akan cuba meminta dari Mak Su Kiah beberapa tangkai petai yang segar. Kerana dia tersangat arif akan ulam kegemaran insan kesayangannya itu. Cuma, nantilah.. sehari sebelum tarikh 16 Mei nanti, dia akan mintakan Mak Su Kiah bungkuskan petai dengan kertas pembalut hadiah yang akan dia beli di kedai koperasi nanti. Duit bekal sekolah pagi tadi masih cukup, sebab sengaja dia tak gunakan duit itu. Cukuplah dengan bekal jemput-jemput dan air kosong yang dibawa dari rumah…

          Pagi Selasa yang dingin, bertepatan 16 Mei 2015, hari itu seperti Hari Raya bagi Jibam. Seusai Subuh dia sudah lengkap beruniform lusuhnya. Dia cuba merapi-rapikan diri walaupun dia tahu, dia tidak akan berubah menjadi kacak dengan baju putih yang sudah berubah kekuningan dan seluar biru yang kelihatan seperti berdebu. Bungkusan yang berbalut rapi dicapainya. Tiba-tiba dia teringat sesuatu. Segera dia mencapai sekeping kertas berwarna biru muda dan mula mencoret sesuatu sambil tersenyum-senyum. Dia melipat rapi helaian kertas itu dan menyimpannya di dalam poket kemejanya.

Suasana Sambutan Hari Guru mula kelihatan meriah bila berbondong-bondong hadiah untuk sesi pertukaran hadiah antara guru dan kakitangan sekolah mula dibawa dan dikumpulkan di atas sebuah meja. Ramai juga murid-murid mengelek hadiah untuk diberi kepada guru-guru tersayang. Ada yang membawa seplastik besar hadiah. Ada yang hanya membawa sebuah kotak kecil dengan tersenyum riang seolah-olah tidak sabar untuk menyerahkan hadiah tersebut. Jibam cuba menyorok beg plastik hitam yang dibawanya supaya tidak ada yang datang bertanya dan mengusik-ngusik benda di dalamnya. Sesekali mukanya merona merah menahan debar dan teruja.

Kedengaran dekahan ketawa yang bersahut-sahutan dari bilik guru.  Cikgu Nora kelihatan tersenyum bangga  sambil menyusun hadiah-hadiah yang diterima dari anak murid di atas mejanya. Kembang kempis hidungnya kerana agak banyak hadiah yang dia dapat kali ini berbanding tahun lepas. Ustaz Fatah pula diusik-usik rakan guru yang lain kerana mendapat hadiah paling banyak. Maklumlah.. cikgu paling muda. Lemah-lembut pula orangnya. Di satu sudut, Teacher Nailah kelihatan termenung sayu sambil menilik sehelai gumpalan wang RM1.. Mungkin terharu kerana itu adalah pemberian dari Ehsan, murid Tahun 2. Mungkin anak itu tidak berkemampuan membeli hadiah untuk cikgu kesayangannya lalu diberi hadiah berupa wang seringgit.

Rupa-rupanya dekahan paling kuat yang berkumandang tadi adalah dekahan Cikgu Romizi. Sampai berair matanya sambil menayang-nayang tiga tangkai petai di hadapan rakan-rakannya. Dekahannya semakin kuat meletus bila dia baru membuka gulungan lukisan potret. “Wah!! Hensem juga aku rupanya! Sampai ada peminat misteri!! Nama pengirim pun tak tulis!!! Tapi, buruk sangatlah pula rupa aku bila dilukis!! Kah!!Kah!!”. Sementara guru-guru lelaki yang lain mula sibuk membuat komentar tentang lukisan potret dari pengirim misteri itu.

Jibam yang baru sahaja mahu membuka mulut untuk memberi salam dari luar bilik guru hanya terpaku melihat dan mendengar ‘kemeriahan’ dari bilik itu. Butir-butir bicara dari bilik itu singgah jelas ke telinganya. Terus langkahnya terundur. Kertas biru yang baru dikeluarkan dari poketnya terus disumbat semula sehingga renyuk. Sebenarnya dia terlupa menyelitkan surat untuk Cikgu Romizi bersama bungkusan petai tadi. Dia cuba beranikan diri untuk menyerahkan sendiri coretan rasa hatinya kepada insan kesayangannya itu. Dia masih teringat coretan yang ditulis Subuh tadi:
" Istimewa untuk Cikgu Romizi.
Cikgu, saya tak mampu nak belikan hadiah yang cantik untuk cikgu. Semoga cikgu dapat terima hadiah yang tak seberapa ini.Saya minta maaf kalau saya ada buat salah pada cikgu.
Cikgu, saya sayang cikgu sebab rupa cikgu macam Abah saya. Cikgu garang macam Abah saya. Misai cikgu pun sama macam misai Abah saya. Saya rindukan Abah saya. Sebab tu saya sayangkan Cikgu Romizi. Harap Cikgu tak marah."
Ikhlas dari:
Muhamad Najib Bin Amran (Jibam)
            5 Sentosa

        Petang yang hening, di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bakat, seorang budak lelaki kelihatan terbongkok-bongkok mencabut rumput liar di atas sebuah kubur tanpa belindan. Sambil memegang batu nisan, sayup-sayup terdengar rintihan anak itu:
“Abah… Jibam rindu Abah.. Kat sini tak ada sesiapa yang dapat ganti tempat Abah. Jibam ingat semua pesan Abah.. Kena sayang dan baik dengan semua orang walaupun orang tu benci kita. Tapi kenapa tak ada orang yang sayang Jibam, Abah..? Tak boleh ke kalau Jibam ikut Abah?”
Sambil menyeka-nyeka air mata yang mula turun, Jibam mula mengatur langkah pulang ke rumah. Dia baru teringat, Si Romi, anak biri-biri kesayangannya belum di beri makan lagi.

Kredit cikgu Nur Sobariah Ismail

No comments:

Post a Comment

Thanks for your comment ^__^ ....