Friday, 27 November 2015

Cerpen seram bersiri KGM: Cikgu Ummu Zakiya episod 1 dan 2

#ceritaseorangjuruukur

Episod 1

Aku mendekati Shahrul yang sedang enak menyedut asap rokok dan melepaskannya perlahan lahan. Tergambar kenikmatan pada wajahnya setiap kali asap rokok dihembus. Shahrul, perokok yang agak tegar.

Puas kami menegur dan menasihatinya supaya kurangkan menghisap rokok dan seboleh bolehnya berhenti terus tapi Shahrul hanya tersengih menampakkan barisan giginya yang tersusun rapi.

"Bukan aku tak nak berhenti merokok kak. Aku pun sayang paru paru aku ni. Tapi kerja aku ni banyak tekanan so dengan menghisap rokok ni kurang sikit tekanan aku".

Jawab Shahrul setiap kali kami membebel padanya. Aku pun tak tahu sebab aku bukan perokok. Dan ofkos la aku bukan perokok sebab aku ni perempuan.

"Lagipun rokok ni dapat halau nyamuk bila aku buat keja dalam hutan". Sambung dia lagi. Aku tahu jauh di sudut hati, dia ada keinginan untuk berhenti merokok cuma belum ada kekuatan. Tak apa la aku doakan semoga dia berhenti merokok satu hari nanti. Aamin.

"Shah... ko cuti lama ke?". Aku menegur Shahrul yang dari tadi asyik menyedut dan menghembuskan asap rokok.

Dia pandang aku seraya menjawab "keja macam aku ni kak mana la buleh cuti lama. Lusa aku balik la KL. Tak macam ko. Cikgu. Banyak cuti". Shahrul senyum sambil kembali menyedut asap rokoknya.

Dah macam asap fogging dah aku rasa.

"Shah ko tak de ke citer citer best masa ko buat projek kat Grik tu?". Soal aku penuh harapan. Menjadi agenda utama aku setiap kali kami bertemu.

Sementelah pula Shahrul suka bercerita dan pandai bercerita. Tapi dengan aku je la dia nak bercerita. Maklumlah umur kami beza tak jauh mana. Kami satu kepala. Zaman kami sama. Membesar bersama.

Dialah teman sepermainan aku zaman kecil dulu. Mandi sungai sama sama. Panjat pokok sama sama. Memancing sama sama dan kena piat telinga dengan ayah pun sama sama. Indah waktu kecil dulu.

Shahrul berhenti menyedut asap rokok dan mematikan api rokoknya. Dia memperkemaskan silanya. Bersedia untuk kongsikan pengalaman dia ketika di Grik baru baru ini.

Shahrul menarik nafas dan mula bercerita.....

*****************
Malam tu Shahrul memandu kereta bersendirian ke rumah sewanya yang terletak di sebuah kampung jauh di pedalaman Grik.

Semua tahu Grik memang terkenal dengan hutan tebal dan gunung ganang.

Beginilah kerjanya sebagai juruukur. Tak boleh nak pilih pilih tempat projek. Asal bawa rezeki yang halal, dia terima.

Shahrul menjeling jam di tangannya yang menunjukkan jam 2 pagi. Kerja sebagai juruukur memang balik tak ikut masa. Kadang awal kadang lewat.

Sunyi sepi jalan raya. Maklumlah lewat malam begini di kawasan kampung yang terpencil jarang bertembung dengan kenderaan lain di waktu begini.

Kiri kanan semak samun. Sesekali kereta Shahrul bergoyang bila tayarnya terkena lubang di jalan.

Rumah yang Shahrul sewa bersama pekerjanya terletak di atas bukit. Untuk ke sana perlu melalui semak samun tebal yang sunyi lagi menyeramkan bila waktu malam. Sebelum sampai rumah sewanya dia perlu melalui sebatang pohon beringin yang besar dan rendang.

Walaupun ada kalanya dia rasa agak seram setiap kali melalui pohon beringin itu tapi dia tetap gagahkan dirinya. Kerja seperti tak boleh takut. Perlu berani. Perlu kental.

Keretanya makin menghampiri pohon beringin. Gelap gelita. Ketika lampu keretanya menyuluh tepat ke arah pohon itu dan saat itu mata Shahrul menangkap lembaga putih seakan pocong sedang tegak berdiri. Bila lampu keretanya tepat mengenai lembaga berupa pocong itu, tiba tiba lembaga itu melompat ke atas dan hilang di sebalik daun daun pohon beringin yang merimbun.

Shahrul tergamam. Sedikit terkejut. Namun dia buat tak endah dan teruskan memandu.

"Aku salah pandang kot". Fikir Shahrul untuk menyedapkan hatinya.

Sesampai di rumah, Shahrul terus masuk ke bilik dan merebahkan badannya. Shahrul memejamkan matanya dan bersedia untuk tidur. Lelah seharian di tapak projek benar benar membuatkan matanya mengantuk.

Malam itu dia bersendirian kerana pekerjanya balik kampung, bercuti. Dia tidak ikut sama kerana perlu siapkan kerja yang masih berbaki.

Baru dia nak lelapkan mata, tiba tiba bumbung rumahnya bising seperti ada benda yang melompat dan bergolek golek. Shahrul yang terlalu mengantuk bingkas bangun dan mengenakan seluar keciknya dalam posisi terbalik.

*****************
"Errrrr... jap. Apsal ko bangun pastu pakai seluar kecik ko tu terbalik?". Soal aku. Hairan dengan tindakan Shahrul.

"Ala ko ni kak. Potong stim betul la. Jangan la potong aku cerita ni." Ngomel Shahrul.

"Tak de. Apsal ko bangun pastu pakai seluar kecik terbalik. Bunyi hantu pocong tu duk melompat dan bergolek atas bumbung rumah ko kot." Aku pulak yang membebel.

"Tak de la. Aku ada dengar petua orang tua tua kalau tak nak kena sihir atau santau kita pakai la seluar kecik tu terbalik. Kan masa kejadian ni ramai pengamal pengamal sihir dan santau duk nak test ilmu masing masing. Tu yang aku nampak pocong tu". Terang Shahrul panjang lebar.

Walaupun aku rasa macam pelik petua tu tapi aku anggukkan kepala tanda faham walaupun sebenarnya aku tak faham apa kaitan antara pakai seluar kecik terbalik dengan nak elak dari kena santau

"Ok dah. Aku nak sambung citer ni. Ko duk diam diam". Sambung Shahrul.

*******************
Selesai mengenakan seluar kecik terbalik, Shahrul merebahkan semula badannya dan cuba memejamkan matanya sambil mulutnya terkumat kamit membaca ayat ayat suci al quran.

Bunyi benda melompat dan bergolek di atas bumbung rumah Shahrul masih kedengaran. Dan akhirnya Shahrul terlena kerana kepenatan walaupun dia tahu yang di atas bumbung rumahnya itu adalah pocong yang sedang mengusiknya. Tapi kerana terlampau mengantuk dan letih dia tak ambil pusing.

******************

Shahrul mencapai gelas yang berisi air sirap di depannya dan meneguk perlahan. Haus kerana asyik bercerita. Aku yang ada di depannya melopong dan masih tak puas mendengar cerita seramnya.

"Errrrr.... dah habis ke?". Aku menyoal penuh harapan semoga ada lagi sambungannya.

Shahrul angguk. "Ada lagi. Tak habis situ jer. Nanti aku sambung. Sekarang aku nak pergi dapur jap. Aku lapar ni. Kang aku story balik ea". Ujar Shahrul dan berlalu ke dapur.

Aku masih menunggu Shahrul selesai makan untuk dia menyambung kisah seterusnya....

Bersambung ke episod 2.

*kata orang bila nampak pocong tu tanda orang nak hantar sihir atau santau kat kita. Sejauhmana kebenarannya aku pun tak tau..wallahualam.

***************************

#ceritaseorangjuruukur

Episod 2

"Erkkkkkkk.... Alhamdulillah". Panjang sendawa Shahrul. Kekenyangan. Aku pandang Shahrul dengan riak muka tak suka. Dia tersengih sengih.

Shahrul capai sebatang rokok dan menyalakan api. Asap rokok disedut dalam. Nikmat.

"Isap rokok lagi?". Ngomel aku. Tak senang dengan sikap dia yang suka merokok.

"Antara benda yang best dalam dunia ni ialah hisap rokok lepas makan". Ujar Shahrul sambil menyedut asap rokok dan menghembusnya perlahan lahan. Aku biarkan dia tenggelam dalam nikmat merokok dan aku setia menunggu dia selesai untuk meneruskan ceritanya yang masih tergantung.

Habis sebatang rokok dia hisap. Air sirap yang masih berbaki diteguknya perlahan. Aku yang masih disisinya membetulkan silaan sambil memandang wajah dia. Sekali lihat wajahnya iras pengacara Ally Iskandar. Cuma beza dia agak gelap dan mukanya semak dengan jambang tak bercukur.

Dulu dia tak macam ni. Dahulu kulitnya putih dan agak berisi. Tapi sejak bekerja sebagai juruukur kulitnya bertukar menjadi gelap dan tubuhnya dulu berisi kini sedikit kurus. Maklumlah berpanas dan makan tak tentu masa.

Lebih lebih lagi jika terpaksa masuk hutan. Apa yang ada dalam hutan itulah makanannnya. Kalau ada rezeki dapatla dia makan ikan kelah dan ayam hutan.

Perlahan lahan Shahrul memulakan ceritanya...

****************

Lepas peristiwa diganggu pocong malam itu, ada beberapa kali jugak Shahrul terserempak dengan pocong tapi dia buat tak endah. Malas nak menakutkan dirinya walaupun hakikatnya dia takut.

Berulang kali dia ingatkan dirinya supaya kuat dan berani. Kerja sepertinya tak kenal erti takut. Tak boleh jadi penakut.

Cuma Shahrul berhati hati bila makan diluar rumah kerana waktu sekarang ini para pengamal ilmu hitam sedang test ilmu masing masing. Dan sewenangnya melepaskan santau dan sihir. Jika tak bernasib baik kita yang akan terkena.

Sebelum dia menjejakkan kaki ke sini, ramai kawan kawannya berpesan supaya berhati hati. Jangan sewenangnya makan disembarangan kedai makan. Nak makan jangan lupa baca doa dan amalkan adab makan yang Rasulullah ajar.

Dia bukannya alim. Hanya pernah belajar sekolah pondok. Itu pun tak sempat habis, dia cabut lari. Dia hanya mempraktikkan apa yang Rasulullah ajar sebagai benteng dirinya.

Dia teringat akan kisah yang baru terjadi kepada abang Yus (abang ipar kami).

Hari tu abang Yus dan rakannya singgah makan di sebuah kedai. Seperti biasa, menjadi amalan rakan abang yus sebelum makan dia akan membaca bismillah dan beberapa doa untuk elak santau.

Selesai doa dibacakan, gelas yang ada di depannys pecah berderai. Dan semua yang ada tergamam.

Rupa rupanya ada santau angin yang 'tersesat'. Mujurlah ALLAH lindunginya asbab dia mengamalkan apa yang Rasulullah ajarkan.

Berbalik kepada cerita Shahrul.

Malam tu Shahrul tidur di rumah sewa bersama 3 orang pekerjanya. Ketika lewat malam, Shahrul terjaga kerana hendak membuang air kecil.

Tanpa berlengah Shahrul berjalan perlahan lahan menuju ke arah bilik air yang terletak berhampiran dengan dapur. Risau jika dia mengejutkan pekerjanya yang sedang lena.

Tatkala kaki Shahrul memijak lantai dapur, Shahrul hampir hampir melompat kerana terlampau terkejut bila melihat satu lembaga berpakaian putih koyak rabak sedang duduk mencangkung di atas mesin basuh tepi bilik air.

Rambut lembaga itu panjang mengurai dan kepalanya tertunduk. Bila ternampak Shahrul, lembaga itu pun turut terkejut dan sepantas kilat melompat ke atas alang rumah dan menghilang.

Rupa rupanya bukan Shahrul je terkejut tapi lembaga itu juga terkejut bila melihat Shahrul.

*********************
"Hahahahaha.... " aku ketawa sekuat hati. Terasa geli hati pula bila hantu tu pun terkejut melihat Shahrul.

Shahrul pandang aku. Serius. Bengang agaknya bila aku terkekeh kekeh ketawa mendengar cerita dia.

"Ini bukan citer hantu. Ini citer rajalawak ni". Aku masih lagi ketawa.

Shahrul menarik muka. Masam. Mungkin dia ingat aku fikir dia tipu.

"Dah la. Malas aku nak citer. Ko ingat aku tipu ke?". Marah Shahrul.

"Ok ok... aku tak ketawa dah. Sambung citer ko". Aku menutup mulut menahan ketawa sambil mengesat air mata dihujung mata.

*******************
Shahrul yang masih terkejut, kelam kabut lari masuk ke bilik dan tak jadi ke tandas. Sampai ke pagi Shahrul tak dapat lelapkan mata kerana kejadian malam tadi. Walaupun dia seorang yang agak berani namun bila berdepan dengan keadaan macam tu sedikit sebanyak tergugat jugak keberanian dia.

Tak lama kemudian Shahrul berpindah dari rumah sewa tersebut kerana tidak tahan dengan gangguan yang sering berlaku. Dan tak lama kemudian Shahrul mendapat satu projek di negeri area pantai timur.

Suatu daerah yang betul betul menguji dia sebagai juruukur dan juga manusia biasa.

**************
Sejak aku dengar cerita Shahrul ni, beberapa hari jugak aku takut nak ke bilik air  di waktu malam. Otak aku terbayang hantu tu duk bertenggek atas mesin basuh rumah aku.

Adehhhhhh penakut jugak aku rupanya....

Bersambung ke episod 3.

Kredit Cikgu Ummu Zakiyya

No comments:

Post a Comment

Thanks for your comment ^__^ ....